Warisan Kebangsaan » Objek Warisan» Objek Warisan Tak Ketara » Tarian Zapin
TARIAN ZAPIN
Gambar 1: Tarian Zapin
Kategori : Objek Warisan Tak Ketara
Butiran Warisan : Tarian Zapin
Jenis : Tarian Tradisional Melayu
Latar Belakang Sejarah :
Zapin merupakan tarian Melayu yang melambangkan elemen-elemen kesenian Melayu dan Timur Tengah. Bermula dari abad ke-14, imigran Arab yang mendarat di Johor membawa pengaruh kesenian ini ke Semenanjung Malaysia bercirikan selera tempatan yakni dari saduran kesenian Melayu. Tarian Zapin masa kini lebih dikenali sebagai kesenian rakyat yang menggabungkan gerak tari yang berasaskan kaki penari-penarinya. Cara persembahan tarian ini terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat pertama merupakan permulaan tarian atau pembukaan tari. Peringkat kedua ialah pecahan atau gerak serta lenggang tari dan peringkat ketiga merupakan penutup tarian.
Gerak tari Zapin lebih tertumpu kepada langkahan kaki dengan posisi tertutup serta tidah merendah. Manakala senikata yang dinyanyikan dalam lagu untuk tarian ini diselitkan dengan kalimat berunsur keagamaan seperti “salam” dan “assalammualaikum”, kata-kata nasihat dan pujian kepada kebesaran agama dan kesempurnaan budi pekerti. Dari segi pakaian pula, penari-penari memakai pakaian Melayu selengkapnya iaitu bagi lelaki berkain sampan dan bersongkok. Penari-penari wanita memakai baju kurung beserta kain sarung.
Alat muzik utama yang digunakan bagi mengiringi tarian Zapin ialah gambus, rebana, gendang dan maracas. Petikan gambus untuk mengiringi lagu, sementara rentak gendang atau rebana menentukan rentak dan pecahan tari. Antara lagu-lagu Zapin ialah Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang rebana dan lain-lain. Pada asalnya rentak Zapin adalah rentak yang digunakan untuk lagu-lagu keagamaan seperti nasyid dan lagu yang menggunakan bahasa Arab.
Namun demikian, gerak-geri tari Zapin mencerminkan tingkah laku dan kesenian orang Melayu